بسم الله الرحمن الرحيم

Semakin jauh satu-satu zaman itu dari Baginda Nabi صلى الله عليه وسلم dan Sahabat-sahabat رضي الله عنهم maka sekadar itulah akan berlaku kemalapan dalam cahaya kerohanian dan kelemahan dalam pembentukan kaifiyat hati. Disebabkan hati dan tabiat manusia telah cenderung ke arah kebendaan maka pada zaman mutakhir ini gerak usaha yang gigih amat diperlukan untuk pembentukan rohani dan kaifiyat hati.

Seperti sebuah bekas akan dibersihkan mengikut kadar kotoran yang melekat padanya. Sekiranya kotoran itu biasa sahaja maka cara basuhan biasa sahaja. Penggunaan air akan bertukar kepada sabun dan seterusnya kepada tanah sekiranya kesan kotoran itu bertambah berat. Begitu juga cara gosok dan sentalnya juga akan berubah disebabkan berbezanya kadar kotoran itu.

Dek kerana zaman semakin jauh meninggalkan zaman suci, maka beginilah juga pendekatan yang diambil oleh tasawwuf dan suluk walaupun tujuannya tetap sama seperti yang terdapat di era kenabian dan sahabat-sahabat iaitu mencapai martabat insan.

Sudah diketahui umum bahawa dalam perjalanan mazhab-mazhab feqah, Allah Taala telah memberi penerimaan luar biasa kepada 4 mazhab. Begitu juga dalam usaha tasawwuf dan suluk, Allah juga telah menzahirkan penerimaannya yang luar biasa kepada 4 salasilah tarekat tasawuf.

Hasilnya Syeikh Abdul Qadir Jilani, Syekh Muinuddin Chishti, Syekh Shihabuddin Suhrawardi dan Syekh Bahauddin Naqsyabandi رحمهم الله merupakan imam-imam hebat di zaman mereka. Masyaikh ini telah merangka bentuk-bentuk mujahadah, riyadhah dan zikir dengan petunjuk dan pengalaman mereka sendiri. Dari mereka kesemua salasilah tarekat ini telah tercetus dan tersebar. Matlamat mereka semua adalah satu iaitu kesucian batin.

Sebabnya ialah sepertimana kebersihan badan dan pakaian itu penting, begitulah juga pentingnya kebersihan hati manusia. Amal dan kerja akan bersih dan baik bila hati suci.

Banyak perbuatan (amal/fiʿil) yang berlaku dengan anggota zahir, dan banyak juga perbuatan yang berlaku dengan anggota batin yakni hati. Perbuatan jenis pertama dipanggil amal perbuatan zahir, manakala jenis yang kedua pula dipanggil amal perbuatan hati sebab ia timbul di dalam hati. Jadi seperti mana amal perbuatan Zahir dari sudut pandangan syarak mempunyai status hukum yang berbeza-beza. Sebahagiannya fardu wajib, ada pula yang sunat dan mustahab, ada juga yang mubah dan makruh. Begitulah juga amal perbuatan batin kita dari sudut pandangan syarak. Sebahagiannya ada yang berstatus fardhu atau wajib, dan ada juga yang berada pada hukum sunat dan mustahab.

Seperti taqwa, khashyatullah, Ikhlas, sabar, Syukur, tawadhuk dan lain-lain. Manakala sebahagian yang lain pula ada yang dikatakan tidak baik,makruh dan ada pula yang haram seperti takabbur, riyak, hasad, dengki, kedekut, tamak dan lain-lain.

Makna dan mafhum tasawwuf

Tasawwuf berasal dari perkataan suf yang memberi makna bulu biri-biri. Maka tasawwuf dari sudut Bahasa membawa makna memakai pakaian dari bulu seperti perkataan taqammus. Maknanya ialah memakai pakaian (كشف المحبوب)

Definisi tasawwuf seperti yang dinukil dari ramai masyaikh Adalah seperti berikut :

“Tasawwuf merupakan satu bidang ilmu yang melaluinya dapat diketahui tentang kaifiat dan ahwal penyucian hati, pemurnian akhlak dan pembentukan Zahir serta batin demi mencapai kebahagiaan yang selamanya di dunia dan akhirat”

Nama lain bagi tasawwuf : ilmu ini juga dikenali dengan nama ilmu qolbi علم القلب ilmu berkaitan hati, علم الأخلاق ilmu pembentukan akhlak, ilmu ihsan atau suluk, ilmu tazkiyah atau ilmu tariqat.

Kenapakah orang tasawwuf dipanggil Ahli Sufi?

  1. Sufi diambil dari lafaz ṣafā’. Maksud ṣafā’ ialah kebersihan hati. Maka ahli tasawwuf dipanggil sufi sebab hatinya bersih dari penyakit rohani (batin).

  2. Sufi diambil dari lafaz ṣuffah. Maksud ṣuffah ialah satu kawasan tinggi yang terdapat dalam Masjid Nabawi صلى الله عليه وسلم. Lafaz ini dikaitkan kepada penghuni (ahli) tempat ṣuffah itu. Ahli Ṣuffah ialah sekumpulan para sahabat رضي الله عنهم yang mengasingkan diri mereka daripada kesibukan duniawi dan mewakafkan diri mereka ke pangkuan Baginda Nabi صلى الله عليه وسلم. Mereka seolah-olah pelajar-pelajar khusus Nabi صلى الله عليه وسلم.

Pakaian serta makan minum mereka sangat sederhana. Oleh kerana kehidupan ahli-ahli sufi ini mempunyai sinaran seumpama kehidupan ahli ṣuffah itu, lalu mereka pun dipanggil Sufi.

Pengenalan Ahli Sufi

Ahli sufi ialah mereka yang mengutamakan keredhaan Allah جل جلاله dalam setiap perkara.

Kata Imam al-Ghazali رحمه الله dalam kitabnya المنقذ من الضلال:

“Tareqat ahli sufi akan sempurna dengan ilmu dan amal. Khulasah ilmu mereka ialah penyucian hati daripada sifat-sifat tercela dan perangai atau tabiat buruk. Perkara ini diusahakan supaya hati betul-betul kosong dari selain Allah, lantas ia terhias dengan zikrullah setiap masa.

Daku benar-benar yakin bahawa ahli sufi inilah orang-orang yang sentiasa berada di atas jalan Allah. Sirah kehidupan mereka adalah sirah yang terbaik. Cara mereka ialah bawakan mereka ialah bawakan yang paling lurus. Akhlak dan keperibadian mereka merupakan akhlak yang paling bersih lagi mulia.”

Ahli Sufi terbahagi kepada tiga bahagian:

Pertama – ialah ahli sufi yang alim tentang selok-belok syariat dan juga beramal dengan amalan tasawwuf.

Kedua – ialah ahli sufi yang mendakwa diri sebagai ulama dan ahli tasawwuf, sedangkan pada hakikatnya mereka bukan ahli tasawwuf.

Ketiga – ialah ahli sufi yang mendakwa diri sebagai ahli tasawwuf tetapi ia tidak alim mengenai selok-belok agama.

Golongan ahli sufi bahagian pertama merupakan golongan terpuji dan paling layak untuk dimuliakan. Mengenai golongan yang kedua, kita tidak akan katakan sesuatu melainkan: hindarilah diri dari ilmu dan tasawwuf yang didakwakan oleh mereka itu.

Manakala golongan ketiga pula, ulamak tasawwuf sendiri telah memberi kenyataan tentang mereka bahawa golongan ini berada di landasan yang salah. Kerana tanpa ilmu, laluan (suluk) tasawwuf boleh mengundang bahaya serta kesan dan natijahnya boleh jadi negatif dan memudaratkan.

Perhatikan kata Imam Malik bin Anas رحمه الله mengenai ketiga-tiga golongan sufi ini:

“Barang siapa mempelajari fiqh namun tidak menghasilkan tasawwuf, dia adalah orang fasiq.

Barang siapa menghasilkan tasawwuf namun tidak belajar fiqh, dia adalah zindiq.

Barang siapa menghasilkan fiqh dan tasawwuf kedua-dua sekali maka dia adalah orang yang mencapai kebenaran.” (مرقاة المفاتيح، كتاب العلم)

Sejarah Tasawwuf

Bilamana ditulis atau dibincangkan mengenai tajuk tasawwuf dan ahli sufi maka sebenarnya tasawwuf ialah satu bentuk kehidupan Islam yang disebut mengenainya oleh hadis Nabi صلى الله عليه وسلم dengan nama Ihsan.

Manakala maksud ahli sufi pula ialah satu golongan manusia yang menyerahkan dirinya dalam bimbingan seorang syeikh mursyid (pembimbing) yang kamil supaya diislahkan nafsunya serta dibersihkan hatinya, sekaligus mereka ini akan mencapai pada kedudukan atau maqam hidayat (petunjuk) dan keterbimbingan yang tinggi. Lantaran itu mereka juga mampu membawa sinaran dan kebersihan pada hati dan pemikiran manusia lain melalui kesempurnaan rohani dan kesucian batin yang dimiliki. Mereka mampu membina sebaik-baiknya serta seteguh-teguhnya hubungan manusia dengan Pencipta hakiki mereka.

Dalam Islam, jalur sistem tasawwuf dan tarikat ini telah bermula sejak awal lagi. Sejarahnya bermula sejak adanya agama Islam. Namun pada mulanya nama tasawwuf ini tidak dijadikan satu istilah. Walaupun begitu keseluruhan sifat dan ciri-cirinya serta keistimewaannya sudah wujud dalam bentuk (sifat) Ihsan.

Jemaah ahli sufi yang seumpama ini wujud di setiap zaman.

Melalui kaedah ihsan dan tasawwuf inilah kebiasaannya tuntutan untuk membimbing dan menunjuk jalan lurus kepada golongan terpesong dapat dilaksanakan. Sehingga manusia mampu mencapai prestasi cemerlang ini:

  1. Takut pada Allah setiap masa dan keadaan.
  2. Melaksanakan kerja atau tugas agama tanpa sebarang perasaan tamak keduniaan.
  3. Merasai semua orang lebih baik daripada diri sendiri.
  4. Menafikan atau menidakkan diri sendiri.
  5. Terselamat dari sifat cintakan dunia dan duit ringgit, dan tidak juga suka untuk mengumpulkannya.
  6. Jauhkan diri dari kemahsyuran.
  7. Bersifat lemah lembut dan bersikap rendah diri.

Inilah sebenarnya sifat-sifat asas serta kesempurnaan penting yang terhimpun dalam tasawwuf. Kehidupan para sufi menzahirkan dan mengajarkan nilai-nilai murni ini.

ʿAllāmah Ibn Khaldūn رحمه الله ketika membincangkan tentang tasawwuf dengan kenyataannya bahawa amalan ini sudah wujud sejak zaman sahabat رضي الله عنهم dan tābiʿīn lagi, beliau menegaskan dengan katanya,:

Erti tasawwuf ialah sentiasa mengambil berat dalam urusan pengabdian diri, mengekalkan tawajjuh serta tumpuan pada Allah جل جلاله sepanjang masa, memalingkan perhatian dari dunia dan perhiasannya, selalu menjauhkan diri dari kemanisan harta dan kedudukan yang mana ianya menjadi sasaran orang ramai. Inilah cara dan bawaan yang diamalkan oleh para sahabat Nabi صلى الله عليه وسلم dan orang-orang soleh terdahulu. (كشف القلوب – شيخ سيد علي هجويري)

Tasawwuf dan Beberapa Zamannya

Tasawwuf mempunyai detik permulaan yang agung dan telah melalui fasa kecemerlangan yang luar biasa serta fasa kemerosotan yang membimbangkan. Ahli sejarah dalam rangka membentangkan peristiwa ini telah membahagikan tasawwuf kepada tiga zaman:

1. Zaman Nabi صلى الله عليه وسلم, zaman sahabat رضي الله عنهم dan zaman para tabiʿīn.

Pada zaman berkat ini, tasawwuf berdiri dengan sempurna dan gagah. Namun ia tidak dikenali dengan nama tasawwuf, bahkan ia disebut dengan zuhud, taqwa dan ihsan.

2. Ialah zaman ketika mana penyakit cinta dunia dan cinta kedudukan telah menjadi umum dalam masyarakat Islam. Banyak pemikiran baru dan kesesatan telah bertapak dalam masyarakat ini. Orang Islam sejati yang terhias zuhud dan taqwa yang hakiki serta sentiasa merasai kelazatan Imani, terpisah jauh dengan perbezaan tersendiri, demi untuk menjaga dan menyelamatkan diri dari golongan awam itu. Mereka itulah dipanggil dengan ahli sufi. Sifat iman, ihsan, zuhud dan taqwa tinggi mereka ini dipanggil tasawwuf.

3. Zaman yang mana tasawwuf dijadikan sebagai asbab untuk mencari duit dan dunia. Kedudukan sebagai “guru tarekat” atau “syekh mursyid” atau “khalifah syeikh” dalam tasawwuf ini dijadikan punca pencarian, sumber untuk membuat duit dan asbab mengumpul kekayaan. Sedangkan satu ketika dahulu ia merupakan satu lapangan indah yang membawa keindahan kepada kehidupan ratusan ribu manusia, sekaligus telah mengubah kehidupan mereka dari sesat kepada taat, dari kehidupan rugi kepada yang suci.

Ia asalnya adalah khānqāh atau zāwiyah yang membawa tazkiyah pada nafsu dan taṣfiyah pada hati. Sedih ialah sekarang ianya dianggap sebagai satu tempat berpesta, mengumpul harta benda, tempat berbincang isu semasa serta pusat pameran, berbangga-bangsa dan bersukaria.

Inilah zaman terburuk tasawwuf, yang kita sedang menarik nafas di dalamnya. Perkara ini dilihat merata-rata dan semakin menjadi-jadi. Tasawwuf dizalimi dan ditindas oleh ahli sufi sendiri iaitu “ahli sufi” yang mendakwa diri dan Ia dipersenda dan dipermainkan oleh orang-orang yang zahir mereka berpakaian seperti ahli sufi dan menonjolkan kewalian seumpama seorang wali.

نعوذ بالله من ذلك

Beberapa peringkat dalam tasawwuf

Tasawwuf mempunyai empat peringkat iaitu: Syariat, Tariqat, Haqiqat dan Maʿrifat.

Mafhum ringkasnya begini:

Syariat itu ialah satu jalan.

• Berkelana dan menempuh jalan itu, itulah namanya Tariqat.

• Seterusnya selamat sampai ke destinasi impian melalui jalan tadi, itulah ia Haqiqat

• Rahsia dan isyarat yang tersingkap tersebut, Setelah sampai ke destinasi itulah ia dinamakan dengan makrifat.

Istilah dalam peringkat tasawuf ini diperkukuhkan dengan sabdaan mulia Nabi صلى الله عليه وسلم:

الشريعة أقوالي والطريقة أفعالي والحقيقة أحوالي والمعرفة سِرّي

" Syariat itu ialah sabdaanku, tariqat ialah amalan ku, hakikat pula ialah keadaan dalaman (batin)ku, manakala makrifat itu ialah rahsiaku"

Radd al-Muḥtār merupakan sebuah kitab fiqh yang masyhur lagi muktamad. Di sana ditulis kenyataan ini: " Syariat dan tariqat adalah dua perkara yang saling melazimi antara satu dengan yang lain dan saling melengkapi antara satu dengan yang lain. Ini kerana jalan untuk menuju kepada Allah mempunyai dua peringkat, satu zahir dan satu lagi batin. Yang zahir itu syariat dan tariqat, manakala yang batin itu pula ialah hakikat"

Imam-imam tasawuf telah menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai asas dan usul dalam setiap pegangan dalam amalan mereka. Justeru itu, Syekh Junaid Baghdādī raḥimahullāh pernah berkata: “Hanya orang yang berpegang dengan al-Quran dan Sunnah sahajalah yang akan dapat menghasilkan tasawuf.”

Dia menempuh jalan ini dengan pancaran dari kedua nur suci tersebut. Natijahnya dia akan selamat dari tergelincir dan jatuh ke dalam jurang keraguan dan kesangsian dan dia juga tidak akan terperangkap dalam kegelapan bid’ah. (تذكرة الأولياء)

نعوذ بالله من ذلك